Thursday, April 1, 2010

Rahsia Rasa Hati - 3

Hujung minggu ini, aku pulang ke rumah keluargaku di Kajang. Mama dan papa sudah kerapkali telepon menyuruhku pulang kerana ada perkara penting yang aku sendiri tidak pasti. Sampai di rumah mama dan papa masih belum pulang dari rumah nenek di Sungai Choh dan aku hanya merehatkan diri di dalam bilik melayan fikiran. Semenjak akhir-akhir ini, mindaku seakan-akan tepu dengan kenangan lama yang semuanya menyakitkan hati aku semasa di UM. Dan semuanya pasti angkara si senyuman sinis itu. Hanya dia yang banyak menghimpunkan kenangan pahit dalam hidupku sebagai seorang pelajar.

Adakah salah bagiku untuk menyukai seseorang? Rasanya setiap insan di dunia ini mempunyai hak yang mutlak ke arah itu. Itu fitrah semulajadi seorang insan di muka bumi ini. Tetapi kenapa Irfan tidak menyedari akan hakikat itu malah sanggup mempersenda-sendakan perasaan suci aku dengan mengatakan aku ini tergila-gilakan dirinya. Aku tidak gila! jauh sekali menyintainya ketika itu. Cuma yang aku tahu, dia sekadar menjadi pemangkin bagi diriku. Aku tidak minta dia untuk membalas rasa hatiku kalaupun ketika itu aku mencintainya. Cukup sekadar menghormatiku sebagai seorang wanita yang tidak rela direndahkan maruahnya. Dan kini aku tidak membenci dirinya tetapi sekadar melayan rasa sakit hatiku. Hanya aku yang tahu akan rasa hatiku…

Tanpa sedar aku terlelap hampir ke dinihari. Mujur juga mama mengejutkan diriku yang terlena. Dan berada dalam dakapan mama sejurusnya membuat aku rasa 'ringan'. Bebas dari masalah dah kenangan lama yang menyesakkan dada dan fikiran.

"Oh, mama... lamanya ElleaNur tak jumpa mama," kataku membalas pelukan erat mama.

"Rindunya…," sambungku manja dengan sebuah kucupan di pipi mulus mama. Mama memandangku dengan rupa sedikit pelik.

"Laa... anak manja mama ni, lama apanya tak jumpa, baru minggu lepas tidur dengan mama kan?," ujarnya.

"Alah, lamalah tu mama. Kalau boleh hari-hari ElleaNur nak tidur dengan mama tau!," balasku panjang.

"Hah iyerlah tu! mama suruh tinggal dengan mama tak mau, nak jugak duduk dekat Bangsar sana tu, entah apa yang ElleaNur suka sangat dekat sana tu pun mama tak tau lah," balas mama memulakan hobi meleternya yang agak lama aku tak dengar.

"Bukan ElleaNur tak mahu tapi...,"

"Tapi apa?," soal mama pantas.

"Ermm tak ada apalah... mama, papa mana? ElleaNur rindu ni," pintasku cepat. Malas nak dengar mama membebel panjang lagi-lagi kalau dia mengungkit pasal ketidakmahuan aku tinggal bersamanya.

"Sudah pergi mandi cepat, lepas ni kita makan malam bersama. Papa ada dekat bawah tu," sambungnya lagi.

Sewaktu makan malam mama dan papa berbicara mengenaiku. Sampai bila aku hendak menyendiri yang menurut mereka sudah sampai masanya berumahtangga. Tapi bagiku, aku tidak bersedia ke arah itu, seakan ada sesuatu yang menghalang aku untuk menerima setiap pinangan yang datang. Sudah kerapkali mama dan papa terpaksa menolak dengan pelbagai alasan. Selepas ini, kata mama dan papa mereka akan menerima sesiapa saja yang masuk meminang.
Aku hanya mampu mendiamkan diri, malas memberi sebarang komen. Tambahan pula aku memberitahu mereka yang aku masih tidak mempunyai teman istimewa untuk menyuruh keluarganya datang menyuntingku dari mama dan papa. Bukan tiada lelaki yang ingin mendampingiku, cuma hatiku yang tidak terbuka untuk mereka. Abang Farris sepupuku yang paling rapat sewaktu kecil pun pernah meluahkan perasaannya padaku sedikit waktu dulu. Tapi aku tidak pernah menganggapnya lebih dari seorang abang. Alia…tolong temanmu ini…rintihku di dalam hati.

Rupa-rupanya, minggu itu juga kami ada tetamu khas dari New Zealand. Patutlah mama beriya-iya menyuruhku pulang. Mak Long ku yang menetap di sana pulang bercuti sambil menghantar anak-anaknya yang kebetulan mendapat kerja dan belajar di KL. Abang Farris turut ada memandangkan dia akan mula bekerja di KL kerana tempat kerjanya di NZ membuka cawangan pertama mereka di sini. Manakala adiknya Farissa yang muda 5 tahun dariku pula melanjutkan pelajarannya di UM dalam jurusan Linguistik. Seakan ada pesta di rumah kami dengan kehadiran mak long sekeluarga yang sememangnya kecoh itu, ditambah lagi dengan telatah Farrisa yang selalu mencuit hati kami semua. Kunjungan mereka juga menamatkan persoalan mama dan papa mengenai jodohku. Alhamdulillah, selamatlah aku untuk kesekian kalinya.

No comments:

Post a Comment