Thursday, May 20, 2010

Rahsia rasa Hati - 9

Kini usia pertunangan aku dengan Irfan menjangkau usia 2 bulan dan ianya masih berjaya aku simpan tanpa diketahui oleh rakan-rakan sepejabatku. Hanya Alia seorang temanku yang tahu. Itupun setelah aku menjemputnya di saat-saat akhir kerana aku perlukan seseorang untuk memberi kekuatan untuk menghadapi majlis itu. Aku masih bersikap dingin dengan Irfan. Cincin platinum permata satu masih terdampar di dalam laci meja solekku. Belum ada keinginan untuk memakainya walau sesekali hatiku bagaikan meronta untuk menyarungkannya di jari manisku. Tapi egoku menyekat keinginanku yang satu itu. Rasa sakit hati sewaktu dia memalukan aku 5 tahun lalu masih lagi bersisa.

Sebenarnya, aku mahu mengajar Irfan supaya lebih menghargai perasaan wanita dan bagaimana rasanya jika kasih ditolak walau hakikatnya aku sudah dapat menerima kehadiran dirinya sebagai tunanganku. Sehingga kini aku masih gunakan gelaran Encik dipangkal namanya di hadapan staf-staf yang lain walau telah beberapa kali ditegaskan oleh Irfan. Aku hanya berani meninggalkan gelaran itu di saat berada berdua dengannya. Jika tidak dia pasti tidak akan melayan sebarang pertanyaanku walaupun yang berkaitan dengan kerja. Tidak profesional langsung!

Pagi itu, Abang Farris menawarkan diri untuk menghantarku ke pejabat kerana tayar keretaku pancit sewaktu pulang dari rumah mama semalam. Kebetulan laluan kami sememangnya sama. Sewaktu turun dari kereta aku terpandangkan Irfan di lobi sedang menunggu lif. Dia memandangku dengan muka yang masam. Aku menghampirinya seraya mengucapkan selamat pagi, tetapi tiada balasan dari Irfan.

"Kenapa dia yang hantar you, mana kereta you?," soalnya apabila kami melangkah ke dalam lif. Aku menekan butang 15 dan menoleh kearahnya.

"Pancit," jawabku pendek, tiada mood untuk berbicara lebih lanjut.

"Kenapa tak bagitahu I? kenapa suruh dia yang jemput you?," tanyanya terus.

Aku hanya mendiamkan diri, selamba membelek-belek diri dari cermin di dalam lif itu. Cantik! Hehe perasan! Irfan mencebikkan bibir memandang kearahku.

"Petang nanti balik dengan I, lagipun mama I suruh you datang rumah malam ni. Lagi satu, jangan nak perasan cantik, dah tak ada siapa yang nak dengan you tu!," ujarnya seraya melangkah keluar dari lif.

Peduli apa aku! Tak cantik pun kau nak juga kat aku ni! Getusku geram lalu mengekori Irfan dari belakang menuju ke arah pintu masuk. Malas membantah, petang itu aku pulang dengan Irfan.

"Irfan, you hantar I balik rumah dulu, I nak mandi dan tukar pakaian," ujarku sebaik duduk disebelahnya, tanganku pantas menghidupkan radio dan aircond kereta BMW biru metalic Irfan. Panas! Irfan menghalakan aircond ke arahku.

"Kenapa? Tak selesa?," tanyanya seraya menjeling sekilas kearahku. Aku hanya menganggukkan kepala. Mana mungkin aku berjumpa Pn. Maryam dengan skirt separas lutut begini, getus hatiku.

"Kenapa tak pakai baju kurung? Kan lebih manis sikit," katanya tersenyum kecil.

Semenjak bertunang, senyuman sinisnya hampir lenyap dari pandanganku. Yang ada hanya senyuman manis yang dihiasi lesung pipit kecil di pipi kirinya. Itu yang membuatkan hati dan perasaanku kadangkala berbelah bagi.

"I tak tahu nak pergi rumah you malam ni," terangku jujur. Lagipun aku sudah biasa berpakaian korporat setiap hari isnin. Baju kurung hanya akan aku pakai setiap hari jumaat, itupun kalau tidak kena pergi ke tapak projek. Selebihnya aku selesa berseluar panjang.

Rupa-rupanya malam itu, Pn. Maryam menjemputku untuk mencuba resepi terbarunya yang dipelajari dari mama, mee rebus Johor.

"Macamana rasanya Eizurra? Sama tak dengan yang mama kamu masak?," tanyanya tidak sabar untuk tahu hasil masakannya.

Aku mengangguk walaupun rasanya 'kurang' sedikit dari masakan mama. Namun untuk menjaga hatinya aku rasa patut untuk berbuat demikian. Irfan memandangku sambil mengenyitkan mata dan tersenyum kecil. Aku hanya mengerutkan kening dan mencebikan bibir. Selesai menjamu selera aku mencuci pinggan di singki sambil melayan perasaan. Tiba-tiba pinggangku dipeluk dari belakang, aku terjerit kecil.

"Hei, I lah," ujar Irfan perlahan.

"Irfan! Behave yourself ok? Jangan nak mengada-ngada, I tak suka!," bentakku kuat.

"Siapa suruh Farris hantar you pergi kerja hari ini? I geram tau tak?," katanya seraya mengeratkan pelukan di pinggangku.

"I punya sukalah nak suruh siapa pun hantar I," ujarku sambil cuba melepaskan diri dari Irfan yang mula mendekatkan mukanya diwajahku. Tiba-tiba sebuah ciuman hinggap di pipi kananku lantas aku berpaling dan sebuah lagi kucupan di pipi kiriku.

"Irfan..you ni dah melampau tau tak!," jeritku agak kuat dengan muka yang merona merah, terkejut dengan tindakkan berani Irfan.

"So, jangan berani you keluar dengan Farris atau lelaki lain tanpa keizinan dari I. Ingat you're my fiance!," katanya memberi arahan.

"You tiada hak untuk melarang I berkawan dengan siapa-siapa pun yang I suka!," tingkahku memandang tajam ke wajah Irfan.

"Read my lips, I TUNANG YOU, jangan sesekali cabar kelelakian I ElleaNur!," ujarnya dengan wajah tegang lantas berlalu keluar ke ruang tamu.

Eleh baru tunang, bukan laki akupun, getus hatiku lantas meneruskan kerja mencuci pinggan yang tergendala sebentar tadi. Erm...syok pulak kena peluk cium, getus hatiku nakal.

Semasa perjalanan balik aku meminta Irfan untuk membantuku menukar tayar keretaku yang pancit tetapi dia hanya mendiamkan diri tanpa sebarang persetujuan.

"Irfan... boleh tak tolong i ni?," ulangku sekali lagi. Seminit... dua minit... Irfan masih lagi membisu.

"Tak mengapalah mungkin Abang Farris boleh membantu I," kataku perlahan, sengaja memancing reaksi dari Irfan. Irfan segera memberhentikan keretanya di bahu jalan dan memandangku tajam dengan wajah yang mula merona merah. Mungkin marah dan tersinggung dengan kata-kataku tadi.

"Apa you ingat I tak boleh tolong you? kenapa mesti you menyakitkan hati I ElleaNur... atau you masih tak boleh menerima I lagi, masih berdendam dengan I lagi... hmmm?," soalnya dengan keluhan yang panjang.

Aku tunduk membisu lantas melarikan pandangan dari wajah Irfan yang tegang menahan kemarahan. Setelah keadaan agak reda dia meneruskan perjalanan. Hanya kedengaran bunyi radio yang perlahan mengiring perjalanan ke rumahku.

"Esok pagi I jemput you. Kereta you, esok petang I arrangekan mekanik untuk baikinya," tutur Irfan tanpa sedikit pun memandang ke wajahku. Dia segera berlalu pulang, membiarkan aku dengan perasaan bersalah yang bersarang di dalam hati.

Thursday, May 13, 2010

Rahsia Rasa Hati - 8

Minggu depan mama menyuruhku mengambil cuti selama seminggu. Ada hal penting yang memerlukan kehadiran diriku katanya. Malas bertanya lanjut aku segera mengisi borang cuti dan meletakkannya di atas meja Irfan. Selepas lunch, Irfan memanggilku berjumpa dengannya. Ini mesti pasal permohonan cuti aku, minta-mintalah diluluskan, doaku sambil melangkah ke pejabatnya.

"Buat apa awak apply cuti lama-lama ni ElleaNur? nak kahwin ke?," soal Irfan serius dengan seulas senyuman sinisnya.

Seketika hatiku berdegup kencang. Mungkinkah mama? Terngiang-ngiang kata-kata mama dan papa padaku sebelum ini. Ah mustahil! Tidak akan ada sebarang majlis tanpa persetujuan dariku.

"Family problem En. Irfan," jawabku memberi alasan pendek.

Aku pun tak pasti apa masalah keluargaku sehingga mama beriya-iya sungguh menyuruh aku mengambil cuti begitu panjang. Ingin bercutikah? Menurut mama penting, bercuti penting sangat kah? Percutian keluarga barangkali. Fikirku sambil mengerutkan kening.

"Problem apa?," soalnya ingin tahu.

"Saya pun tak pasti En. Irfan," jawabku perlahan. Kalau aku tahu pun tak adanya aku nak bagi tahu kau, getusku hatiku nakal.

"So, approved ke tak ni En. Irfan?" soalku tak sabar.

"Ok saya luluskan, tapi jangan lupa jalan pulang pulak nanti ya!," katanya sedikit tegas. Mestilah aku luluskan, family problem awak tu ada kaitan dengan saya!

"Okay thanks, saya keluar dulu ya En. Irfan?",

Irfan menuruti langkah ElleaNur dengan matanya. Tapi betul ke yang dia tak tahu langsung pasal problem tu? Erm... kalau betullah habislah aku nanti. Irfan termagu sendirian memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal dia lalui selepas ini. ElleaNur...ElleaNur...aku sanggup rintangi apa saja halangan untukmu sayang!

"What mama???,"

Aku tersandar lemah di sofa. Seakan bergegar otakku saat mendengar perkhabaran dari mama setibanya aku di rumah petang itu. Patutlah hatiku berdegup hebat sewaktu Irfan mempersoalkan tentang permohonan cutiku semalam. Mungkinkah Irfan dapat merasakan apa yang aku rasakan saat ini? Ah mama!

"Kenapa mama tak minta persetujuan ElleaNur dulu? Mama ni memang tau!", rungutku marah.

Mama ni memang sengaja mendera aku! Suka-suka dia saja pergi terima pinangan dari kawan lamanya. Dan lebih malang lagi majlis pertunangan akan diadakan dalam minggu ini juga. Aku tak bersedia mama! Jeritku di dalam hati. Ingin membantah, semua persiapan telah diatur. Barang hantaran sudah digubah, catering telah ditempah, pada kaum keluarga telah dihebah, aku yang parah! Bagi menunjukkan rasa marah aku memberontak didalam diam. Seharian aku berkurung di dalam bilik menangisi nasib diri. Puas mama dan papa memujuk namun semuanya aku tak layan, perut yang lapar aku tahan.

Tapi keesokan paginya aku redha akan apa yang telah tersurat oleh Tuhan. Itupun setelah semalaman aku befikir dan memujuk diriku supaya menerima pertunangan ini dengan redha. Siapakah gerangan jejaka malang itu pun aku tak ambil pusing asalkan mama dan papa gembira. Itu sudah memadai bagi diriku yang kerdil ini, membalas budi mereka yang telah membesarkan aku dengan penuh kasih sayang sejak aku dilahirkan ke dunia ini.

Tapi, bagaimana dengan Irfan? Ah, aku bukan siapa-siapa pada sekeping hati milik lelaki itu. ElleaNur lupakan dia!

Majlis pertunanganku berlangsung dengan suasana yang agak meriah memandangkan aku anak tunggal mama dan papa. Majlis sarung cincin akan dilakukan sekitar pukul 3.30pm. Selepas zuhur aku telah didandan ringkas oleh Mak Andam yang dipanggil oleh mama. Kiranya semua persiapan diriku dari memilih baju dan hantaran ditentukan oleh mama setelah aku menolak untuk melibatkan diri. Cukuplah sekadar aku meminjamkan jari manisku yang runcing ini , kataku pada mama semasa memberi persetujuanku semalam.

Wakil dari pihak lelaki telah sampai dan kini tiba saat untuk menyarungkan cincin, tanda aku telah menjadi milik seseorang. Disaat aku mendongak menantap wajah perempuan separuh umur yang ingin menyarungkan cincin dijari manisku, lidahku kelu, otakku membeku. Dapat aku rasakan mukaku mula merona merah menahan getaran perasaan geram. Pn. Maryam aku lihat tersenyum manis sambil tunduk mendekati telingaku.

"Terima kasih kerana sudi terima Irfan. Eizurra sungguh cantik hari ini," bisiknya perlahan.

Irfan!!! Jeritku kuat didalam hati…seakan bergegar seluruh isi anggota badanku. Patutlah dia tanpa banyak soal meluluskan cuti aku. Dan mulai hari itu bermulalah hidupku sebagai tunangan orang yang menurut kata mama perlu menjaga batas pergaualan terutamanya dengan lelaki selain dari Irfan. Aku bagaikan tidak sabar untuk kembali ke pejabat kerana ada sesuatu yang perlu aku hamburkan!

Dan hari itu, sejurus Irfan muncul di pejabat, aku segera meredah masuk ke biliknya dengan perasaan membara yang aku pendam beberapa hari. Dia yang agak terperanjat dengan kemunculanku hanya memandang sepi. Mungkin sudah menjangkakan akan reaksi dan tindakkan aku padanya hari ini.

"So, puaslah hati you sekarang En. Irfan!," kataku mula menghamburkan kemarahan. Wajah selamba Irfan aku tenung tajam, bagaikan ingin aku telan hidup-hidup! Tetapi tatapan redup sepasang mata Irfan mematikan segala yang terbuku di hatiku.

"Siapa suruh you pandai-pandai hantar pinangan ke rumah I huh?," tanya ku dengan suara yang tinggi. Biar Irfan tahu, bukan mudah untuk aku menerima dirinya dan pertunangan ini secara mendadak begini. Terasa diri tertipu dengan permainan Irfan.

"Irfan sayang... kenapa you nak marah-marah sangat ni?," ujarnya seraya memandang ke jariku. Aku mencebik, tak ingin aku panggil kau Irfan! Desis hatiku marah.

"Mana cincin tunang kita?," tanyanya mendatar.

"Dekat rumah, simpan dalam peti besi!," jawabku selamba. Dia hanya ketawa kecil.

"Hei sayang juga you kat cincin tu ya. Tak sia-sia I pilih sendiri. Tapi I bagi bukan untuk disimpan Cik ElleaNur sayang…" ujarnya panjang sambil mundar-mandir di belakangku.

"I takkan memakainya selagi tak dapat menerima dan menyayangi you En Irfan... dan kalau perlu kita putuskan saja pertunangan ini," balasku lantas bangun tapi segera tanganku ditarik kasar oleh Irfan. Wajahnya bertukar merah dan matanya merenungku tajam.

"Tolong jangan cabar kesabaran I ElleaNur! You tunang I and I tunang you!," tingkahnya kuat.

"Mulai hari ini, I tak mahu dengar perkataan Encik lagi faham? Okay now you can get out!!," arahnya kuat.

"Err...tangan I En…lepaskan tangan I Irfan!!," jeritku lantang.

Irfan tersandar lemah di kerusinya sejurus ElleaNur melangkah keluar. Seketika dia tertunduk membisu. Irfan benar-benar marah mendengar kata-kata ElleaNur yang ingin memutuskan pertunangan mereka yang baru beberapa saja hari terikat. Dia baru ingin merasai perasaan bahagia menjadi tunangan ElleaNur. Mekar di hatinya masih segar bugar tapi tergamak ElleaNur membuat dia begini.

Sungguh! Pada mulanya Irfan seakan tidak percaya pinangannya akan diterima oleh keluarga ElleaNur. Dia hanya mencuba nasib selepas dipastikan yang kemungkinan dia mempunyai peluang yang cerah untuk berada di hati wanita pujaannya itu. Hatinya yang sarat dengan rasa cinta terhadap ElleaNur bagaikan tidak dapat di tahan-tahan lagi lalu, kedua ibubapanya didesak supaya pergi ke rumah keluarga ElleaNur di Kajang. Dan, secara kebetulan pula, mama ElleaNur, Pn. Raihana merupakan kawan baik mamanya di zaman persekolahan mereka dahulu. Jadi, segala urusannya menjadi bertambah mudah. Segera majlis pertunangan diatur atas permintaan keluarga ElleaNur sendiri.

Tapi, mengapa ElleaNur tidak bersetuju dengan pertunangan ini. Dia membantah didalam diam, dan pagi ini terbukti yang sememangnya ElleaNur tidak bersetuju akan ikatan ini. Walau hatinya sedikit tersentuh dengan tindakkan ElleaNur tadi, Irfan berjanji akan cuba untuk memenangi hati ElleaNur, akan dibajai sekeping hati itu dengan rasa cintanya yang tulus lagi suci. Semoga suatu hari nanti ElleaNur sedar akan perasaannya itu.

Monday, May 3, 2010

Rahsia Rasa Hati - 7

Malam itu aku menemani Abang Farris membeli belah di Mid Valley. Katanya ingin mencari hadiah untuk Mak Long yang akan menyambut hari lahir yang ke-53 tahun. Setelah mendapatkan barang yang dihajati kami pergi menikmati makan malam di Jalan Telawi yang sememangnya menjadi tempat favourite aku semenjak zaman kegemilangan di UM lagi. Kami menikmati makan malam yang diiringi pemuzik jalanan yang aku cukup kagumi kerana mereka mempunyai anugerah bakat seni yang luar biasa.

Sedang aku enak memerhatikan pemuzik jalanan itu mengalunkan lagu 'Sway' dari Michael Buble mataku tertancap kepada sepasang mata hitam yang tajam sedang merenung ke arahku dari arah bertentangan. Aku seraya memberikan senyuman kecil dan menundukkan wajah dan berpura-pura berbual mesra dengan Abang Farris. Sesekali mata kami berlaga apabila saja aku memandang ke hadapan. Mujur juga Abang Farris tidak perasan. Mungkin itukah perempuan yang bernama Julia, bisik hatiku. Tapi kenapa perempuan itu membiarkan Irfan terus merenungku? Atau mungkin juga dia memang tidak perasan. Mustahil dia tidak perasan sebagaimana Abang Farris kerana aku tidak menunjukkan sebarang reaksi yang mencurigakan. Aku hanya selamba, buat-buat tidak nampak sedangkan Irfan merenungku terus!

Esoknya, seawal pagi aku dan Irfan pergi melawat tapak projek di Sungai Buluh. Hampir separuh hari baru kerja-kerja kami selesai. Berjalan beriringan di bawah cahaya matahari yang agak terik untuk menuju ke arah kereta tanpa sebarang butir bicara membuatkan aku berasa masa sangat panjang. Fikiranku melayang mengingati peristiwa malam tadi di Jalan Telawi. Ada debaran di hatiku setiap kali mata kami bertentangan. Debaran di dadaku sudah pasti mempunyai makna disebaliknya dan mungkinkah turut dirasai oleh si senyuman sinis di sebelahku ini? Soal hatiku lantas berpaling melihat Irfan yang kebetulan turut memandangku. Dia tersenyum kecil. Pelik sungguh senyumannya kali ini. Ya, senyumannya sungguh manis, tiada sinisnya lagi. Yang itu aku pasti! Tapi kenapa? Hendak menggoda aku lagikah seperti semalam? Atau sengaja mempermainkan aku?

"You selalu makan di Jalan Telawi?," soalnya kemudian.

"Erm, salah satu tempat favourite I, lagi pulak ada pemuzik jalanan. I love it!," terangku agak panjang. Terselit sedikit senyuman dibibirku.

"And you? selalu ke pergi situ?," tanyaku pula.

"Yup, I pun suka juga dengan pemuzik kat situ, very interesting," balasnya dengan senyuman. Ceewah... dah pandai senyum manis pulak mamat ni! Manalah dia belajar agaknya eh? Terubat juga hatiku yang kempunan dengan senyuman manisnya itu.

"Semalam yang dengan you, Farris sepupu you tu ke?," soalnya pula.

"You ada apa-apa ke dengan dia?," soalnya terus. Aku mengerutkan dahi, hairan!

"Erm, kalau ada apa-apa dengan dia kenapa? Yang dengan you semalam Julia ke?,"

"Mana you tahu nama dia Julia?," soalnya pula dengan senyuman sinis.

Aiks... hilang dah senyuman manis awak iyer En. Irfan, getus hatiku. Aku hanya membiarkan soalannya dan soalanku berlalu begitu sahaja kerana masing-masing menuju ke kereta tanpa sepatah kata.

Sepanjang minggu ini, mood Irfan sungguh di luar dugaan. Hari-hari ada saja yang menjadi mangsa kemarahannya. Dan mangsa yang paling teruk adalah aku. Silap kecil pun mencetuskan kemarahan yang besar padanya. Hingga air tea-o yang aku buat macam selalu tu pun dia kata tawarlah, terlebih manislah, sampai dua tiga kali aku terpaksa membuatnya kembali.

Dan tengah hari itu, entah tabiat apa pula yang melanda, Irfan mengajak aku mengikutnya untuk keluar makan tengah hari. Aku hanya mengekorinya sehinggalah ke tempat parking kereta. Tanpa menunggu dia memperlawa, aku masuk mengambil tempat di sebelahnya. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Melihatkan air mukanya yang tegang aku mematikan hasrat untuk bertanya ke mana arah tujuan kami. Tetapi perasaan ingin tahuku tidak dapat dibendung lagi tatkala mendapati lorong yang kami lalui seperti pernah aku lalui beberapa kali sebelum ini.

"Kita nak kemana ni En. Irfan?," tanyaku agak sedikit cemas.

Tiada jawapan yang aku terima melainkan secebis senyuman sinisnya. Dia membelok masuk ke dalam sebuah rumah banglo yang amat aku kenali. Ya Allah, biar betul dia ni. Bukankah ini rumah En. Harris? Untuk apa dia membawaku ke mari? Tanyaku pada diri sendiri. Aku memandang keluar tatkala terdengar bunyi ketukan di cermin tingkap.

"Awak tak nak keluar ker?," pertanyaan dari Irfan mematikan segala persoalan di benakku. Aku hanya memandangnya dengan muka bengang, sengaja mempamerkan kesakitan hatiku saat itu. Tanpa sepatah kata aku mengekori dia masuk ke dalam.

"Hah Irfan, kamu sudah sampai, lama mama tunggu," tiba-tiba kedengaran suara Pn. Maryam dari dapur.

"Tak sabar mama nak jumpa bakal menantu mama tu," katanya lagi tanpa menjegukkan muka.

Aku yang mendengar secepat kilat memandang muka Irfan dengan muka yang mula menyerlahkan warnanya. Perasaan malu dan marah bercampur menjadi satu perasaan yang sukar aku gambarkan. Bengang, geram , benci, malu dan sakit hati dapt aku rasakan memenuhi segenap hatiku saat itu. Dan mamat itu aku lihat hanya selamba mempamerkan muka selamba badaknya. Apa ingat hensem sangat ke kalau badak tersenyum sinis begitu? Getus hatiku geram.

"En. Irfan! Apa semua ni??," bentak ku kuat.

"Apa maksud you…," belum sempat aku berkata Pn. Maryam muncul dari dapur bersama hidangan di tangan. Ada senyuman di wajah tua itu.

"Laa… Eizurra ker?," tanya Pn. Maryam sambil tersenyum menjeling Irfan di depannya. Aku terpaksa memaniskan muka dan tunduk menyalami Pn. Maryam dengan perasaan sebal. Sekilas jelingan tajam aku hadiahkan kepada Irfan di sisi mamanya. Menyampah!

"Makcik apa khabar?," tanyaku sekadar berbasa-basi.

"Alhamdulillah sihat. Eizurra?" jawabnya sambil tersenyum lebar. Aku mengangguk kecil.

"Mari kita makan, dah lewat ni, nanti sejuk pulak hidangan yang makcik masak special untuk bakal menantu makcik ni," ujarnya panjang.

Aku sekadar mengeluh kecil memandang muka Irfan dan menuruti langkah Pn. Maryam. Nasib baik mama awak ada En. Irfan… kalau tidak… getus hatiku geram. Kami sekadar menikmati hidangan tengah hari itu bertiga kerana yang lain semuanya mempunyai urusan di luar. Aku lebih banyak mendiamkan diri dan sesekali menjawab pertanyaan Pn Maryam. Irfan hanya sekadar jadi pemerhati antara kami berdua dan sesekali menyampuk perbualan kami.

"Irfan suka makan asam pedas Johor tau Eizurra, lagi pulak kalau ada ulam raja," Pn. Maryam mula bercerita mengenai anak terunanya yang aku benci tapi…

"Hah, so you kenalah belajar dengan mama I, ElleaNur," sampuknya tiba-tiba.

Aku buat muka selamba. Peduli apa aku kalau kau suka asam pedas Johor! Alah tak payah belajar pun aku dah memang expert. Nasib baik kau tak suka kari, mampus aku tak reti! Nak perah santan pun dah sengsara. Aku tersenyum gelihati.

"Lagi satu I paling suka kari daging," tambahnya lagi seolah dapat membaca kata hatiku tadi.

Alamak… Alah! lagipun siapa yang nak jadi bini awak En. Irfan! Jangan perahsantan ler…gumamku.

"Oh..iyer ker?," tanyaku sekadar memberi respon. Seketika otakku geliga mencari helah mengenakan Irfan.

"Nampaknya saya tak bolehlah jadi menantu makcik. Saya memang tak suka kari. Masak lagilah pulak," ujarku perlahan memandang muka Irfan yang sedikit berubah. Mungkin terasa 'penolakan' aku sebentar tadi.

"Tak apa boleh belajar dengan makcik," sampuk Pn. Maryam.

Irfan tersenyum sinis dan meninggalkan ruang makan. Selesai makan aku menolong Pn. Maryam mengemas meja dan mencuci pinggan kotor.

"Cik. ElleaNur, you tak nak balik office? Dak tak sabar nak tinggal kat rumah ni ke?," perli Irfan tiba-tiba. Entah bila dia menuju ke dapur ini aku tak perasan. Aku hanya menjeling memaparkan wajah bengang. Suka sangat menyakitkan hati aku!

"Jangan harap I nak terima you En. Irfan, tak sudi I nak mengadap muka you tu!," kataku agak keras.

"Betul ni? Tapi I akan pastikan muka I jadi tatapan you hari-hari," ujarnya bersahaja. Aku mencebik bibir.

"Sehari you tak lihat muka I, tahulah apa yang akan you rasa nanti," Irfan menambah seraya meninggalkan aku disitu.

Tiba-tiba aku terdengar enjin kereta dihidupkan, pantas aku berlari mendapatkan Pn. Maryam meminta diri.