Saturday, August 28, 2010

Rahsia Rasa Hati - 11

Monolog ElleaNur

Betulkah aku sudah benar-benar menerima Irfan. Bersediakah aku menjadi isterinya. Pernikahan kami akan berlangsung dalam masa kurang 2 minggu lagi. Aku yakin akan hati dan perasaanku terhadap Irfan. Tidak perlu disangkalkan lagi kerana aku tahu setiap rasa dan pendirian hatiku walau seribu dugaan mendatang. Tetapi… bagaimana dengan Irfan? Dia tetap berdegil mahu meneruskan pernikahan ini walau kerapkali aku meminta menangguhkannya. Dia begitu serius apabila berbicara mengenai pernikahan kami. Entah apa yang dikejarnya sehingga memaksa keluarganya bertemu keluargaku bagi mempercepatkan tarikh pernikahan kami. Mama dan papaku hanya menurut tanpa mengambil kira persetujuanku. Ah..mereka selalu begitu, tidak memberi aku hak untuk membuat keputusan hidupku sendiri!

Kelmarin aku terserempak dengan Irfan di Bangsar Shopping Center. Dia bersama Julia! Itu yang membuatkan hatiku sedikit kecewa. Nasib baik ketika itu aku bersama Alia yang memberikan aku sedikit kekuatan. Apa yang aku kesalkan tiada sekelumit pun riak bersalah di wajah Irfan malah dengan sengaja memperlawa aku dan Alia menyertai mereka untuk makan malam di sana. Mujur akalku pantas menolak. Walau kerapkali Irfan menegaskan bahawa Julia itu kawan baiknya, aku masih lagi sangsi. Mungkin di pihak Irfan merasakan begitu, tetapi bagaimana pula dengan perasaan Julia. Aku tidak rasa Julia menganggap Irfan sebagai kawan baiknya. Reaksi liuk lentoknya bersama Irfan kelmarin membuat aku bertambah yakin dengan firasat hatiku. Mungkin difikiran Irfan itu perkara biasa. Bukan sekali itu aku terserempak dengan mereka sepanjang usia pertunangan kami.

Ah, Lelaki semuanya sama! Hatiku kini mula berbelah bagi. Rasa sakit hati menjadikan aku dingin, malas melayan setiap panggilan Irfan. Biar penuh peti simpanan suara di dalam telefon, aku tak peduli! Apa dia ingat dia seorang saja yang boleh marah, melenting bila aku berjumpa Abang Farris? Biar seribu Abang Farris yang datang tapi tidak akan sama dengan dirimu, Irfan. Irfan yang bisa menggetarkan hatiku, Irfan yang menjadikan aku seorang perindu dan Irfan juga membuatkan hujung minggu aku suram tak berlagu!

"Hello, ElleaNur, please pick up the phone, please sayang…," kedengaran suara Irfan dihujung talian. Aku hanya memandang sepi meneruskan tidurku yang sedikit terganggu dengan deringan yang memecah kehingan pagi. Sekilas memandang jam di tepi katilku, 7.15am.

"Apa salah I? kenapa you nak marah tak tentu pasal ni? Takkan sebab Julia you nak merajuk dengan I sampai macam ni sekali… please… dah 2 hari I tak dengar suara you, ElleaNur please…," sayup-sayup suara Irfan kedengaran ditelingaku. Butir-butir seterusnya tidak kedengaran lagi lantaran aku kembali menyambung tidur.

Lebih kurang jam 9 pagi baru aku bangkit dari tidur. Banyak kerja yang perlu aku selesaikan hari ini. Baju kerja yang bertimbun sejak seminggu lalu perlu dicuci. Rumah perlu dikemas. Selalunya Alia yang rajin mengemas dan memasak. Aku hanya menolong apa yang perlu. Tetapi minggu ini dia pulang ke kampungnya di Perak. Aku hanya membancuh air milo sebagai sarapan, malas hendak membuat sebarang sarapan. Mungkin tengah hari nanti baru aku keluar untuk mengisi perut. Kalaulah mama tahu anak daranya ini pemalas, sudah tentu dia tak jadi kawinkan aku dengan Irfan. Dadaku sesak bila teringatkan Irfan. Geram dan sakit hati bersatu menjadi satu perasaan yang sukar ditafsirkan.

Tiba-tiba kedengaran pintu rumahku diketuk dari luar berulang kali. Tanpa berfikir panjang aku terus mengorak langkah dari dapur untuk mendapatkan tetamu yang kedengaran seperti tidak sabar untuk merempuh masuk.

"Siapa?," tanyaku dari dalam sebelum bertindak memulas tombol pintu. Takkan Alia pula, dia kata nak balik esok pagi, fikirku sejenak.

"I, Irfan!," sahut suara di luar dengan kuat.

"You? Buat apa you datang sini?," jeritku agak kuat dari belakang pintu.

"ElleaNur, buka pintu cepat, we need to talk. ElleaNur!," jeritnya lebih kuat dari tadi. Secepat kilat aku membuka pintu, bimbang kelakuan Irfan mengundang kemarahan jiran-jiranku. Irfan meluru masuk dengan wajah yang tegang.

"You memang dah gila Irfan!," jeritku geram. Darah mula memercik ke mukaku. Aku jadi sungguh berang dengan jeritan Irfan sebentar tadi. Malu dan sakit hati. Renungan tajamku dibalas dengan muka tegang Irfan.

"Ya, memang I dah gila. I gila kerana you, tahu tak? Kenapa you tak jawab panggilan I? Apa salah I ElleaNur?," suara Irfan bergema di ruang tamu rumahku.

Sudah 2 hari dia cuba menghubungi ElleaNur, tetapi tiada satu pun panggilan yang dijawab. Dan pagi tadi, kesabaran yang sememangnya telah goyah membawa dia ke mari menemui ElleaNur.

"Buat apa tanya I? Jawapannya ada pada you. Atau you sengaja tak nak mengaku?" tingkahku sinis seraya berlalu ke dapur.

Sudah buat salah tak nak mengaku, getus ElleaNur geram. Baik aku sambung basuh baju lagi bagus. Irfan mengekoriku ke dapur dan duduk di meja makan. Dengan selamba dia meneguk air miloku yang tinggal separuh dalam mug yang ada di atas meja itu. Aku menjeling melihat Irfan yang masih membisu dengan wajah masam. Aku leka membilas baju sebelum memasukkan kembali di dalam mesin untuk dikeringkan. Irfan hanya memerhatikan aku dengan rupa sebal. Malas aku hendak bertegang urat lagi dengannya.

"ElleaNur, you marah kat I pasal Julia ke?," terpacul soalan dari bibir Irfan setelah lama membisu. Irfan memandangku mengharapkan jawapan setelah aku membisu agak lama, memikirkan kata-kata yang sesuai untuk dihamburkan.

"Ya. Memang I marah kat you kerana Julia! Kenapa you mesti keluar dengan dia Irfan? Atau you dengan dia sememangnya ada hubungan apa-apa yang I tidak tahu!," kataku agak tinggi sambil badan menyandar di tepi mesin basuh. Telinga Irfan berubah merah. Aku tahu dia sedang marah. Pedulikan!

"You tak sepatutnya cemburu! Dah berapa kali I cakap dengan you, I dengan Julia sekadar kawan baik. Kawan ElleaNur!," jerit Irfan lantang.

"Kita akan bernikah minggu depan, I tak mahu you terus cemburu , buat I rasa bersalah begini. Please…," ujar Irfan seraya memegang tanganku. Aku menepis tangan Irfan pantas.

"No! I tak boleh. I tetap akan rasa sakit hati bila you bersama Julia. Tapi you jangan bimbang I tetap akan bernikah dengan you. I takkan mungkiri janji keluarga I. Tentang Julia kawan you tu… terpulang pada you. Hati dan perasaan I tak perlu you risaukan," ujarku mendatar lantas berpaling mengeluarkan baju dari mesin basuh dan membawa keluar ke bahagian belakang untuk dijemur, meninggalkan Irfan termagu-magu disitu.

Tidak sanggup aku untuk terus menatap wajah gundah Irfan. Takut hati dan perasaanku cair dengan renungan sepasang mata yang mula meredup itu. Seketika kemudian kedengaran bunyi kereta Irfan meninggalkan perkarangan rumahku. Merajukkah Irfan?

No comments:

Post a Comment